Najis Boleh Jadi Petunjuk Anda Alami Kanser Usus, Ini Tanda-tandanya!
Jangan terkejut, kerana daripada bentuk dan warna najis, anda sebenarnya boleh mengetahui jika diri berisiko mengalami kanser usus atau tidak. Teruskan pembacaan untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan bentuk dan warna najis kanser usus.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser sila dapatkannya di sini.
Apa itu kanser usus
Sebelum mengetahui mengenai bentuk dan warna najis kanser usus, ayuh kita fahami secara ringkas mengenai penyakit ini.
Kanser usus merupakan antara punca kematian berkaitan kanser tertinggi di dunia. Antara sebab di sebalik kematian yang tinggi ini adalah kekurangan gejala pada peringkat awal. Akibatnya banyak diagnosis berlaku apabila sel kanser telah merebak ke bahagian badan lain.
Kenal pasti simptomnya
Tanda dan gejala kanser usus seperti:
- Perubahan berterusan dalam tabiat usus seperti cirit-birit, sembelit atau perubahan dalam konsistensi najis
- Pendarahan rektum atau darah dalam najis
- Ketidakselesaan perut yang berterusan seperti kekejangan, berangin atau sakit
- Dapat merasai usus tidak kosong sepenuhnya
- Lemah badan atau keletihan
- Pengurangan berat badan tanpa sebab
Kebanyakan individu tidak mengalami sebarang gejala pada peringkat awal. Jika gejala muncul, ia mungkin berbeza-beza, bergantung kepada saiz dan lokasi kanser dalam usus.
Fahami faktor risiko
Berikut merupakan antara faktor risiko untuk mengembangkan kanser usus:
Usia
Semakin meningkat usia, risiko untuk mengalami kanser usus menjadi tinggi. Kebanyakan kes berlaku pada mereka berusia 50 tahun ke atas.
Gaya hidup
- Gaya hidup tidak aktif fizikal
- Berat badan berlebihan atau obes
- Penggunaan alkohol berlebihan
- Merokok
Etnik
Individu daripada etnik Afrika-Amerika berisiko lebih tinggi berbanding yang lain.
Sejarah keluarga
Anda berisiko tinggi jika ahli keluarga seperti ibu bapa, adik-beradik atau anak menghidap kanser usus.
Ia mungkin kerana kecenderungan genetik, terdedah kepada persekitaran yang sama atau kedua-duanya.
Sejarah keluarga atau diri menghidap polip
Polip kolorektal adalah ketumbuhan bukan kanser yang boleh berlaku pada mana-mana bahagian usus atau rektum. Ia perlu dibuang kerana boleh menjadi kanser pada masa hadapan.
Individu yang pernah menghidap polip usus atau rektum – khususnya berbilang polip – berisiko lebih tinggi untuk mengembangkan kanser usus.
Warna najis kanser usus
Coklat
Diet dan jumlah cecair hempedu menentukan warna najis. Cecair hempedu berwarna kuning-hijau dan fungsinya membantu mencerna lemak. Najis yang normal biasanya akan berwarna kecoklatan.
Warna najis kanser usus hijau?
Walaupun mengejutkan, tetapi najis berwarna hijau mungkin bukan sesuatu yang serius. Ia mungkin kerana anda makan terlalu banyak sayuran atau makanan dengan pewarna hijau.
Ia boleh terjadi apabila makanan bergerak melalui usus terlalu cepat dan hempedu tidak sempat mencernanya.
Namun jika berterusan, lakukan pemeriksaan doktor.
Warna merah, antara warna najis kanser usus
Najis merah boleh disebabkan pengambilan ubat berwarna merah, pewarna makanan berlebihan atau makan ubi bit. Namun ia harus kembali normal selepas satu atau dua hari.
Sebaliknya, jika merah terang mungkin petanda usus berdarah. Ia mungkin darah daripada buasir, jangkitan, keradangan atau kanser. Jika kerap berlaku, lakukan pemeriksaan doktor.
Jadi, adakah warna najis kanser usus hitam?
Ia mungkin berlaku disebabkan pengambilan ubat atau suplemen zat besi. Namun jika ia tidak berkaitan (anda tiada mengambil ubatan tersebut), berjumpalah dengan doktor segera.
Najis berwarna hitam atau merah pekat dan berbau busuk mungkin menandakan saluran penghadaman mengalami pendarahan.
Perubahan bentuk najis
Pendarahan daripada rektum antara gejala kanser usus. Sebarang perubahan pada najis boleh menjadi petunjuk tentang keadaan di dalam badan.
Najis yang nipis boleh menjadi tanda kanser usus. Jika pada bila-bila masa anda melihat najis halus dan nipis seperti reben, ia menunjukkan berlakunya perubahan dalam usus.
Perubahan tabiat pergerakan usus
Cirit-birit
Najis berair adalah perkara biasa dan mungkin disebabkan tindak balas terhadap ubat, tekanan, makanan tertentu atau jangkitan. Jika berterusan selama lebih 3 hari, doktor perlu memeriksa puncanya.
Sembelit
Ia boleh terjadi disebabkan tabiat pemakanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal, tekanan atau dehidrasi.
Namun jika sembelit berterusan anda mungkin perlu mendapatkan pemeriksaan doktor.
Perubahan gaya hidup
Beberapa petua berikut boleh membantu mengurangkan risiko kanser usus, seperti:
- Buah-buahan, sayuran dan bijirin penuh yang mengandungi vitamin, mineral, serat dan antioksidan memainkan peranan dalam mencegah kanser. Pelbagaikan pilihan buah dan sayuran supaya anda mendapat pelbagai vitamin dan nutrien
- Jika memilih untuk meminum alkohol, hadkan jumlahnya
- Berhenti merokok
- Lakukan senaman berkala setiap hari, sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap sesi
- Kekalkan berat badan sihat dengan menggabungkan diet dan senaman
Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut berkaitan kanser usus, berundinglah dengan doktor bagi mendapatkan kepastian.
SOURCE: hellodoktor.comKongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date