Mengamalkan pemakanan secara sihat dan diet seimbang amat penting bagi mengekalkan kesihatan yang baik.
Ianya bukanlah sesuatu yang sukar untuk anda amalkan dalam kehidupan seharian.
Ikuti tujuh tips mudah berikut untuk memulakan cara pemakanan yang sihat dan seimbang.
AMBIL MAKANAN BERKANJI
Makanan berkanji sepatutnya merangkum satu pertiga jumlah makanan yang diambil. Antara makanan berkanji adalah kentang, bijirin, pasta, nasi dan roti. Pilih pelbagai jenis bijirin penuh (wholegrain) atau makan kentang dengan kulitnya jika boleh kerana ia mengandungi lebih banyak fiber dan akan membuatkan anda berasa kenyang lebih lama. Pastikan anda mengambil sekurang-kurangnya sejenis makanan berkanji untuk setiap hidangan.
MAKAN BUAH-BUAHAN & SAYUR-SAYURAN
Anda digalakkan mengambil sekurang-kurangnya lima bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran yang berbeza setiap hari. Ia sebenarnya mudah. Contohnya satu gelas jus buah-buahan tanpa gula boleh dikira sebagai satu bahagian, begitu juga dengan sayur-sayuran yang dimasak sebagai satu hidangan. Malah anda juga boleh mencampurkan potongan pisang dalam bijirin anda. Mudah bukan?
MAKAN LEBIH BANYAK IKAN
Sumber baik untuk protein dan juga mengandungi banyak vitamin dan mineral, anda digalakkan memakan ikan sebanyak dua bahagian setiap minggu termasuk satu bahagian minyak ikan yang kaya dengan lemak omega-3 yang mampu menangani penyakit berkaitan jantung. Antaranya adalah salmon, hering, tuna, sardin, makarel dan banyak lagi.
KURANGKAN LEMAK TEPU & GULA
Kita memerlukan lemak dalam diet seharian, tetapi awasi pengambilan serta jenis lemak yang kita ambil. Terdapat dua jenis lemak iaitu tidak tepu dan tepu. Jika anda mengambil terlalu banyak lemak tepu, ia akan meningkatkan kandungan kolestrol dalam darah, sekaligus anda berisiko menghidap penyakit jantung. Antara lemak tepu yang terkandung dalam makanan adalah keju, kek, biskut, sosej, krim, marjerin dan sebagainya. Bagi menggantikan penggunaan marjerin atau ghee, anda boleh menggunakan sedikit minyak sayur-sayuran. Selain daripada itu, pengambilan makanan dan minuman bergula boleh meningkat berat badan. Kurangkan pengambilan minuman berkarbonat, beralkohol, kek, biskut dan pastri yang mengandungi gula.
KURANGKAN GARAM
Walaupun anda tidak menambah garam dalam makanan, anda mungkin makan berlebihan kerana ia terkandung dalam makanan yang kita beli seperti bijirin sarapan, sup, roti dan sos. Ia boleh meningkatkan tekanan darah dan anda berisiko menghidap penyakit jantung atau mengalami strok.
JANGAN ABAIKAN SARAPAN PAGI
Seperti yang diketahui ramai, sarapan pagi adalah hidangan terpenting dalam kehidupan seharian anda. Ramai yang beranggapan tidak mengambil sarapan pagi boleh membantu mengurangkan berat badan. Sebaliknya kajian menunjukkan sarapan boleh membantu mereka mengawal berat badan. Sarapan pagi yang sihat perlulah mengandungi vitamin dan mineral yang diperlukan untuk kesihatan yang baik. Bijirin dengan potongan buah-buahan adalah contoh sarapan pagi yang sihat.
PENGAMBILAN AIR YANG CUKUP
Kita perlu meminum 1.2 liter air setiap hari untuk mengelak daripada dehidrasi. Ia termasuk dengan cecair yang kita dapat daripada makanan yang kita makan. Air suam, susu dan jus buah-buahan adalah contoh cecair yang sihat. Elakkan daripada mengambil minuman berkarbonat yang kaya dengan gula dan kalori.