8 Fakta Menarik Mengenai Derma Darah

8 Fakta Tentang Derma Darah Yang Anda Tidak Tahu

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)


8 Fakta Tentang Derma Darah Yang Anda Tidak Tahu

Jika anda mahukan tawaran istimewa yang hebat lagi menguntungkan – dermalah darah dan nikmati pelbagai manfaat demi kesihatan anda. Manfaat ini mungkin menyelamatkan nyawa anda sendiri. Berikut adalah lapan sebab paling utama untuk menderma darah.

DERMA DARAH…sekiranya anda pernah menderma darah walaupun sekali, anda adalah merupakan insan yang istimewa dan sumbangan yang telah diberikan tidak ternilai harganya!! Untuk menderma darah seseorang didorong oleh banyak faktor termasuk kesedaran diri sendiri untuk berbakti, ingin membantu pesakit yang mungkin terdiri daripada saudara mara dan kawan, ataupun akibat pengaruh rakan-rakan dan saudara mara.

Sepertimana kita sedia maklum, darah merupakan satu komponen penting dalam perawatan kesihatan. Keperluan dan permintaan terhadap darah semakin meningkat hasil kemajuan teknologi perubatan dan peningkatan bilangan hospital kerajaan dan swasta. Rawatan kes-kes seperti pembedahan jantung, pemindahan organ, rawatan pesakit-pesakit talasemia, haemofilia dan anemia memerlukan pemindahan darah.

Sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia adalah untuk menjadikan sekurang-kurangnya 5 % rakyat Malaysia sebagai penderma darah. Walaupun sasaran ini masih belum tercapai, namun jumlah pendermaan darah kebelakangan ini telah menunjukkan peningkatan daripada setahun ke setahun. Sebagai contoh, pada tahun 2007, statistik kutipan darah di seluruh negara menunjukkan sebanyak 507,461 unit darah telah didermakan berbanding dengan 477,365 unit pada tahun 2006.


Segala usaha dan matlamat untuk membekalkan darah yang secukupnya untuk kegunaan pesakit tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada seluruh anggota masyarakat. Kesedaran di kalangan masyarakat adalah amat perlu sekiranya kita ingin menjadikan pendermaan darah ini sebagai satu tanggungjawab dan budaya hidup seluruh masyarakat.

8. Mengurangkan berat badan

Rakyat Malaysia memang suka menjamu selera. Tetapi apabila berat badan mula meningkat, anda seharusnya berasa bimbang. Dengan menderma darah, anda membakar 650 kalori dan menghilangkan satu paun berat untuk setiap pain darah yang didermakan. Anda hanya perlu baring sahaja. Cara bijak mengurangkan berat badan tanpa senaman!

7. Pemeriksaan kesihatan percuma

Petugas perubatan di pusat derma darah akan memberikan anda pemeriksaan kesihatan ringkas. Mereka boleh memberitahu anda beberapa petunjuk penting seperti kumpulan darah, tekanan darah, tahap kolesterol, dan banyak lagi. Anda tidak perlu mengunjungi doktor dan membayar untuk mendapatkan pemeriksaan seumpamanya.

6. Wad hospital kelas 1

Jika anda dimasukkan ke hospital untuk apa jua sebab, anda mengharapkan keselesaan semasa menerima rawatan. Di Malaysia, jika anda menderma darah untuk sebilangan kalinya, anda layak menerima rawatan percuma di wad hospital kelas pertama. Syaratnya, anda menderma darah di Pusat Darah Negara atau hospital yang bersekutu dengannya. Sila rujuk jadual lengkap manfaat di sini: http://bit.ly/1uRPetK

5. Vaksinasi Hepatitis B

Ancaman Hepatitis B adalah sangat berbahaya – ia boleh merosakkan hati anda dan merupakan 50 hingga 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding HIV. Kini, 1.4 juta rakyat Malaysia didapati menghidapinya. Ambillah langkah bijak untuk mendapatkan vaksinasi Hepatitis B. Jika anda menderma darah sebanyak dua kali setahun, anda akan mendapat vaksinasi secara percuma! Tawaran ini sah untuk pendermaan darah di Pusat Darah Negara atau hospital yang bersekutu dengannya.

4. Menambah sel darah

Menderma darah mengurangkan jumlah sel darah merah di dalam tubuh anda dan memaksa sumsum tulang untuk menghasilkan sel baru. Ia umpama menekan butang ‘reset’ pada tetapan pelayar Internet anda. Tubuh anda menjadi lebih bertenaga dan dapat berfungsi dengan lebih baik. Suatu ‘pembaharuan’ yang menyegarkan!

3. Mengurangkan risiko kanser


Kanser adalah penyakit yang paling digeruni oleh semua orang. Jumlah kes kanser didapati semakin meningkat di Malaysia, iaitu daripada 32,000 kes baharu pada tahun 2008 hingga 37,400 pada tahun 2012. Risiko kanser meningkat setiap kali kita mengambil makanan yang tidak berkhasiat dan menghirup udara yang tercemar. Tetapi dengan menderma darah secara berkala, anda boleh mengurangkan risiko kanser pada bahagian usus, perut, hati dan tekak. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat dan pencegahan awal mengelakkan sesalan di kemudian hari.

2. Mengurangkan risiko penyakit jantung

Penyakit jantung merupakan penyebab kematian nombor satu di Malaysia sejak 30 tahun lalu. Namun kita masih ada harapan. Dengan menderma darah, anda boleh mengurangkan risiko serangan jantung dan penyakit jantung. Begini caranya. Penyakit jantung dikaitkan dengan kandungan zat besi di dalam darah anda. Zat besi yang berlebihan akan menjadikan darah anda pekat dan mengakibatkan kerosakan arteri dalam jangka panjang. Apabila anda menderma darah, anda mengeluarkan zat besi daripada tubuh anda serta mengekalkan kecairan darah yang sesuai untuk kesihatan arteri anda.

1. Menyatukan kita semua

Inilah sebab paling utama untuk menderma darah. Ia mengingatkan kita bahawa sesungguhnya kita semua adalah sama. Kepelbagaian budaya dan perbezaan sosial bukanlah menjadi satu faktor apabila berhadapan dengan kecemasan, terutamanya yang melibatkan rawatan perubatan.

Sempena meraikan Kemerdekaan kali ini, marilah kita bersatu dan bersama-sama menderma darah demi kebajikan semua rakyat Malaysia! Darah sama merah. Ayuh, buktikan semangat perpaduan kita.

Tunjukkan sokongan anda ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu dengan mengambil bahagian di kempen derma darah.

Jenis-Jenis Pendermaan

Pendermaan darah boleh dilakukan melalui dua cara, iaitu pendermaan darah penuh (whole blood donation) dan pendermaan secara aferesis (apheresis donation).

Pendermaan Darah Penuh (Whole Blood Donation)

Ini merupakan pendermaan darah yang biasa dilakukan. Darah yang didermakan ini akan diproses di makmal kepada beberapa komponen seperti Plasma, Platelet dan Sel Darah Merah (Packed Cell).

Komponen-komponen Darah

 


Sel darah merah

 

 


Platelet

 

 


Plasma

 

Isipadu darah yang diambil bergantung kepada berat badan penderma. Jumlah maksima darah yang diambil ialah 450 ml bagi berat badan melebihi 50 kg. Sekiranya berat badan di antara 45 ? 50 kg, kuantiti darah yang diambil ialah sebanyak 350 ml. Keseluruhan proses menderma darah mengambil masa lebih kurang 30 minit. Penderma darah penuh ini boleh menderma setiap 3 bulan sekali.

Menderma darah

Pendermaan Aferesis (Apheresis Donation).

Pendermaan aferesis ialah pendermaan plasma dan platelet, atau kedua-duanya sekali dengan menggunakan mesin aferesis. Masa yang diambil untuk menderma adalah di antara 30 minit hingga 45 minit bagi Plasma dan 45 minit hingga 75 minit untuk menderma Platelet. Oleh kerana melalui pendermaan aferesis sel darah merah penderma tidak diambil, penderma boleh menderma dengan lebih kerap. Tempoh antara pendermaan ialah setiap 2 minggu sekali.

Pendermaan Aferesis

Kriteria Penderma Darah Dan Aferesis

Sebelum layak mendaftar diri sebagai seorang penderma,darah, seseorang bakal penderma perlulah memenuhi beberapa kriteria asas berikut:

Penderma Darah Penuh ( Whole Blood ):

  • Berumur di antara 18 hingga 60 tahun (jika berumur 17 tahun, perlu mendapatkan kebenaran bertulis ibubapa/penjaga)
  • Berat badan melebihi 45 kg.
  • Sihat fizikal dan mental serta tiada masalah kesihatan yang kronik.
  • Tidak mengambil sebarang ubat-ubatan dan tidak mengambil minuman beralkohol dalam jangka waktu terdekat sebelum hari pendermaan.
  • Tidak berpuasa dan telah mendapat tidur yang cukup (lebih 5 jam) sebelum menderma darah.
  • Menetap di Malaysia sekurang-kurangnya selama 1 tahun (bagi bukan warganegara Malaysia)

Bagi penderma aferesis, selain kriteria di atas, terdapat beberapa kriteria tambahan iaitu:

  • Berumur tidak melebihi 55 tahun
  • Berat badan 55 kg dan ke atas.
  • Telah menderma darah penuh sekurang-kurang 2 kali dan pendermaan terakhir tidak lebih daripada 6 bulan.
  • Mempunyai salur darah yang sesuai ( besar dan jelas)

Kelayakan seseorang untuk menderma darah akan ditentukan oleh Pegawai Perubatan atau Jururawat yang bertugas. Seseorang bakal penderma hendaklah berada pada tahap kesihatan yang baik bagi memastikan proses pendermaan darah tidak akan memudaratkan penderma dan darah yang didermakan juga tidak akan memudaratkan pesakit yang bakal menerima darah tersebut. Pihak tabung darah menjalankan prosedur yang ketat dalam pemilihan penderma bagi menjamin kualiti darah. Selain tahap kesihatan yang baik, penderma daripada kalangan mereka yang mengamalkan cara hidup berisiko tinggi adalah DILARANG sama sekali untuk menderma darah. Ini termasuklah penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan, mereka yang terlibat dalam kegiatan pelacuran atau melanggani pelacur, dan mereka yang mengamalkan perhubungan seks sejenis atau bertukar-tukar pasangan seks.

Pendermaan darah perlu dibuat dengan rasa tanggungjawab untuk membantu para pesakit. Oleh itu, semua bakal penderma hendaklah jujur semasa menjalani sesi kaunseling sebelum menderma. Keengganan berbuat demikian hanya akan menambahkan risiko kepada pesakit yang berkemungkinan menerima darah yang tercemar.

Proses Pendermaan Darah

  • Penderma perlu mengisi borang/kad pendaftaran pendermaan darah.
  • Menimbang berat badan
  • Menjalani ujian darah bagi mengenalpasti kumpulan darah dan kandungan hemoglobin darah.
  • Menjalani sessi kaunseling dengan Pegawai Perubatan / Jururawat.
  • Pendaftaran dan penderma diberikan buku penderma darah.
  • Seterusnya, proses menderma darah yang mengambil masa di antara 7 – 15 minit.
  • Selepas selesai pendermaan dan jarum dikeluarkan, penderma perlu berehat sekurang-kurangnya 10 minit sebelum bangun.
  • Penderma akan dihidangkan dengan makanan / minuman ringan

Ujian Darah sebelum menderma

Nasihat Kepada Penderma Selepas Menderma

  • Selepas menderma,penderma dinasihatkan berehat di katil menderma darah selama sekurang-kurangnya 10 minit. Selepas itu, bolehlah bangun daripada katil sekiranya tiada apa-apa masalah seperti loya, pening, kepucatan atau rasa hendak pitam.
  • Penderma juga digalakkan mengambil minuman dan makanan yang telah disediakan selepas menderma.
  • Dinasihatkan meminum banyak air selepas dalam tempoh 12 jam selepas menderma menderma Ini adalah untuk mengembalikan cecair yang hilang semasa pendermaan darah.
  • Jangan mengambil minuman beralkohol untuk beberapa jam selepas menderma.
  • Jangan mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktiviti berat seperti payung terjun, menyelam, berenang mendaki gunung serta sukan lasak dalam tempoh 24 jam selepas menderma.

Pusat-Pusat Pendermaan Darah

Pendermaan darah boleh di buat di Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur dan juga tabung-tabung darah hospital kerajaan yang terpilih di seluruh negara. Perkhidmatan menderma darah di tabung darah ini dibuka pada setiap hari bekerja mengikut waktu pejabat (sila hubungi tabung darah masing-masing untuk jadual terperinci).

Unit Pendermaan Darah Bergerak (Mobile Blood Donation)

Selain daripada pendermaan di tabung darah, program pendermaan darah bergerak juga giat dijalankan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menderma darah. Ianya dijalankan di pejabat-pejabat dan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta, kilang-kilang, pusat-pusat pengajian tinggi serta pusat-pusat membeli belah. Program ini dijalankan melalui kerjasama dan sokongan daripada pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan-pertubuhan pelajar serta badan-badan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat atau pertanyaan lanjut berkaitan pendermaan darah dan waktu menderma darah ini dengan menghubungi Pusat Darah Negara atau tabung-tabung darah di hospital yang berhampiran.

Sesi pendermaan darah di unit bergerak.


Senarai Tabung Darah Di Hospital-Hospital Utama Di Seluruh Negara

SENARAI TABUNG DARAH
NO.TEL
NO.FAX
Pusat Darah Negara,
Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
03-2695 5557 / 58 03-2698 0328
Unit Transfusi Perubatan,
Hospital Sultanah Aminah,
80100 Johor Bharu,
Johor.
07-356 5034 07-356 5088
Unit Transfusi Perubatan,
Hospital Tuanku Jaafar,
Jalan Rasah,
70300 Seremban,
Negeri Sembilan.
06-762 3333 06-763 2900
Unit Transfusi Perubatan
Hospital Melaka,
Jalan Mufti Hj.Khalil,
75499 Melaka.
06-282 2344 06-284 1490
Unit Transfusi Perubatan
Hospital Tengku Ampuan Rahimah,
41200 Klang,
Selangor.
03-3375 7000 03-3373 8139
Unit Transfusi Perubatan
Hospital Raja Permaisuri Bainun,
30450 Ipoh,
Perak.
05-253 3333 05-242 3790
Unit Transfusi Perubatan
Hospital Sultanah Bahiyah,
05100 Alor Star,
Kedah.
04-7406265 04-7406266
Unit Transfusi Perubatan,
Hospital Pulau Pinang,
Jalan Residensi,
10450 Pulau Pinang.
04-200 2161 04-200 2155
Unit Transfusi Perubatan
Hospital Tuanku Fauziah,
01000 Kangar,
Perlis.
04-976 3333 04-976 7237
Unit Transfusi Perubatan,
Hospital Raja Perempuan Zainab II,
Jalan Hospital,
15000 Kota Bharu,
Kelantan.
09-790 9333 09-790 0996
Unit Transfusi Perubatan,
Hospital Sultanah Nur Zahirah,
20400 Kuala Terengganu,
Terengganu.
09-621 2121 09-631 3409
Unit Transfusi Perubatan
Hospital Tengku Ampuan Afzan,
25100 Kuantan,
Pahang.
09-557 2085 09-513 7206
Unit Transfusi Perubatan,
Hospital Umum Sarawak,
Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruse,
93586 Kuching,
Sarawak.
082-276 666 082-243 454
Unit Transfusi Perubatan,
Hospital Queen Elizabeth,
88586 Kota Kinabalu,
Sabah.
088-206 385 088-257 256

 

Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : E. Sim Din Niam
Penyemak : Dr. Muhaini Othman


Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Kickbola Network dan langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.